Konsert Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudir

Siti di pembukaan konsert

Setahun selepas Konsert Mega Siti Nurhaliza, Siti Nurhaliza kembali menghiburkan masyarakat Malaysia dengan mempersembahkan konsert khas penghargaan kepada Penghibur No.1 Asia, Sudirman Haji Arshad.

Bertempat di Istana Budaya, Siti mengenang jasa Sudirman, menyanyikan semula lagu-lagu beliau dan konsert ini dihoskan bersama oleh Jaafar Onn, Habsah Hassan dan Yusni Jaafar. Antara lagu-lagu beliau yang cukup sinonim adalah seperti Dir, Chow Kit Road, Big Spender, Balik Kampung dan Salam Terakhir.

Di dalam konsert ini, produksi ada menyiarkan beberapa klip Sudirman, temuramah orang terdekat, kaum keluarga,penggubah lagu, komposer dan rakan-rakan. Antara yang hadir menyaksikan konsert ini adalah kaum keluarga Allahyarham Sudirman sendiri. Anak saudara Sudirman, Atai turut sama memberikan kerjasama menjayakan konsert ini dengan menyanyikan beberapa rangkap lagu Sudirman.

Siti bersama rekaan Din Wahab

Bertemakan penghargaan buat Sudirman, Siti muncul di pentas dengan rangkaian baju yang sinonim dengan Sudirman, termasuklah baju bendera Jalur Gemilang yang direka oleh pereka kegemaran Sudirman, Din Wahab.

Siti turut menjemput penonton untuk sama-sama berada di atas pentas bagi lagu hujan. Props diatas pentas dibuat dengan begitu lancar dan kemas. Di akhir konsert, ada ditayangkan klip Sudirman, menyebabkan Siti dan penonton sama-sama sebak, dan ada yang menitiskan airmata. Konsert yang berlangsung selama empat hari ini mendapat kritikan positif, dan berjaya menggondol beberapa anugerah.